perkongsian..

Wednesday, January 12, 2011

Sejarah Adat Perkahwinan


Berdasarkan sejarah awal penduduk Pulau Borneo tergolong dalam kelompok Austronesia, iaitu daripada kelompok Negrito dan Austroloid. Kelompok ini telah meninggalkan Tanah Melayu bersama-sama penduduk Austronesia yang lain selepas zaman air batu, iaitu kira-kira 2,500 - 5,000 tahun yang lalu. Mereka memulakan penghidupan baru dan berhijrah dari suatu tempat ke suatu tempat yang lain disamping mengamalkan pertanian pindah (shifting cultivation) dalam menyara hidup seharian mereka.

Amalan ini telah dilakukan untukbeberapa lama sehinggalah mereka sampai di Utara Pulau Borneo. Perubahan hidup masyarakat ketika itu telah bermula dengan petempatan secara kekal dan bertumpu di tebing sebuah tasek yang dikelilingi oleh pokok-pokok Ara di ulu Sungai Labuk yang dikenali engan nama Nunukragang. Tidak dapat dipastikan samada Kampung Nunukragang yang terletak tidak jauh dari jambatan Tampias ketika ini adalah kampung yang dimaksudkan dalam sejarah penghijrahan awal ini. Salah satu suku etnik yang terdapat disini adalah suku kaum Orang Sungai.

Dari segi catatan sejarah, asal-usul mengenai Orang Sungai adalah bermula pada 1881, apabila residen pertama Sandakan iaitu Sir William Pryer menjalankan ekspedisi menyusur Sungai Kinabatangan sehingga ke Kampung Imbok yang masih wujud pada ketika ini. Sewaktu ekspedisi tersebut, rombongan beliau telah terserempak dengan sekumpulan masyarakat yang sudah bertamadun dengan berkebolehan mendirikan petempatan di tebing sungai serta pandai bercucuk tanam yang dicirikan dengan imej berambut panjang dan mempunyai kulit kemerah-merahan. Disebabkan masalah komunikasi ketika itu, beliau tidak mengetahui asal-usul masyarakat tersebut dan untuk memudahkan, beliau telah menamakan kumpulan masyarakat ini dengan panggilan the river people. Selepas peristiwa tersebut dan semasa pemerintahan The British North Borneo Chartered Company (BNBCC) panggilan ini telah dialihbahasakan kepada Orang Sungai dan telah kekal digunakan, bukan sahaja terhadap masyarakat yang mendiami Sungai Kinabatangan tetapi juga masyarakat yang menghuni sungai-sungai yang lain juga turut digelar sedemikian.

Masyarakat yang tinggal di pinggir sungai yang dirujuk sebagai Orang Sungai terus berkembang dan petempatan mereka sering tertumpu di tebing-tebing sungai utama seperti Sungai Bengkoka, Sungai Labuk, Sungai Sugut, Sungai Paitan, Sungai Kinabatangan dan Sungai Segama. Pemilihan tempat ini boleh dikaitkan dengan cara hidup masyarakat ini yang gemar bercucuk tanam dan sentiasa mencari kawasan yang subur terutama kawasan lembangan sungai.

Suku kaum Orang Sungai menganut fahaman yang berbeza-beza, ada yang beragama Islam, Kristian dan ada yang masih mengamalkan fahaman Animisma. Mereka yang menganut agama Islam pada asasnya adalah terdiri daripada mereka yang berkahwin campur dengan peniaga Suluk. Orang Sungai mengamalkan adat resam yang dipusakai daripada nenek moyang mereka yang banyak menerima pengaruh animisma dan kini pengaruh Islam. Mereka mengamalkan adat bersanding semasa majlis perkahwinan, adat bertimbang, adat menggunting rambut kanak-kanak dan adat melenggang perut. Pemilihan jodoh bermula dengan istiadat merisik calon isteri. Setelah istiadat merisik maka istiadat meminang pula dilakukan. Dalam istiadat ini, rombongan pihak lelaki bertandang ke rumah keluarga gadis pilihan untuk meminang secara rasmi. Selepas itu, istiadat menghantar damak atau pemberian dilakukan. Pada hari tersebut tarikh perkahwinan dan belanja hantaran untuk majlis perkahwinan akan ditentukan. Istiadat perkahwinan dalam kalangan masyarakat suku kaum Orang Sungai dilakukan mengikut amalan agama masing-masing.

ADAT PERKAHWINAN MASYARAKAT SUKU KAUM SUNGAI


Adat resam perkahwinan Melayu merupakan antara adat resam yang paling penting dan dipegang teguh oleh kebanyakan orang Melayu, baik di kawasan luar bandar mahupun di bandar. Sebagaimana mana-mana kaum, ia memerlukan perbelanjaan yang agak besar, dan terdapat segolongan yang berbelanja melebihi pendapatan dan terpaksa menjual harta atau meminjam wang, untuk tujuan ini. Suku kaum Orang Sungai ini merupakan Pribumi Sabah yang ramai terdapat di Pantai Timur Sabah. Walau bagaimanapun, ramai masyarakat Malaysia termasuk mereka yang menetap di Sabah yang tidak mengetahuinya kerana kurangnya pendedahan di media cetak dan juga media elektronik seperti internet. Masyarakat Sungai merupakan satu suku/etnik yang paling banyak didapati di kawasan Sandakan, Beluran, Paitan, Kinabatangan (Bukit Garam, Sukau, Suan Lamba, Bilit, hingga ke Paris Satu), Kuamut, Segaliud, Ranau(Sugut), Labuk (Telupid), Segama & Sepagaya(Lahad Datu), Madai, Tongod dan juga terdapat di Pitas dan Beaufort (seperti di Kg. Bambangan). Suku kaum Orang Sungai ini terbahagi juga kepada beberapa sub-etnik iaitu dinilai melalui penggunaan bahasa sukuan atau linguistik. Berikut

Dari segi sosial, masyarakat Sungai juga mempunyai perkembangan sosial yg boleh dibanggakan. Di Sabah, terdapat Persatuan Orang Sungai Sabah. Tarian Orang Sungai seperti Titikas, Berunsai dan Tarian Gabang juga sering di persembahkan di majlis-majlis rasmi di Sabah. Artis terkenal Sabah seperti Abu Bakar Ella yang lebih dikenali dengan panggilan Ampal adalah seorang yang berbangsa Sungai. Hubungan Orang Sungai dengan kaum-kaum pribumi Sabah yg lain juga adalah amat baik sejak zaman berzaman.Terdapat juga ramai anak watan masyarakat Sungai yang memegang jawatan tinggi di jabatan persekutuan dan negeri.

Begitu juga halnya dari aspek ekonomi. Jika kita lihat pada masa sekarang, terdapat ramai masyarakat Sungai yang telah mempunyai tahap ekonomi yg baik. Walaupun ada sebilangannya mereka yang masih berada di paras kemiskinan seperti di Paitan, Sugut dan Kuamut, namun perlu diingat bahawa masyarakat Sungai bukannya satu bangsa Pribumi yg suka meminta-minta, dan mengharap bantuan ihsan kerajaan semata. Sejak zaman British lagi, telah banyak masyarakat Sungai yang aktif dalam kegiatan ekonomi seperti Almarhum Pangiran Galpam yg terkenal sebagai antara peniaga sarang burung terkemuka Sabah di Gua Gomantong. Masyarakat Sungai juga masih mewarisi perniagaan sarang burung di Gua Madai. Pada masa sekarang, terdapat juga ramai masyarakat Sungai yang bertani dan mempunyai ladang kelapa sawit/perladangan yang berdaya maju. Terdapat juga di kalangan masyarakat Sungai yang menjadi konglomerat perniagaan Sabah.

Oleh yang demikian, dapat dilihat bahawa masyarakat Sungai di Sabah adalah satu suku kaum yang sentiasa berkembang dalam pelbagai aspek. Dalam pada itu, masyarakat Sungai turut mengamalkan pelbagai adat resam dan kepercayaan sama ada dalam aspek sosial, ekonomi mahupun politik. Adat resam perkahwinan misalnya adalah suatu bentuk adat resam yang diperturunkan sejak turun temurun ke generasi muda.

sambungan dari post sebelum ni..

KONSEP PERKAHWINAN

2.1        Pendahuluan

Dalam Islam, perkahwinan adalah suatu ibadat dan sunnah Rasulullah s.a.w. yang merupakan perlaksanaan terhadap tuntutan fitrah manusia. Orang yang berkahwin akan dapat mengatur suatu kehidupan yang baik, sempurna, dan penuh bertanggung jawab. Mereka ini adalah golongan yang berjaya melaksanakan amanah yang diberi, iaitu sebagai khalifah Allah yang mempertahankan peradaban dan tamadun manusia. Orang berkahwin bertanggungjawab secara keseluruhannya terhadap rumah tangga dan ahli keluarga. Segala perbuatan yang dilakukan demi kesejahteraan dan kebahagiaan keluarga mendapat pahala daripada Allah. Perkahwinan merupakan suatu sunnah Rasulullah s.a.w bagi meneruskan dakwahnya mengatasi masalah sosial dalam masyarakat, mewujudkan perpaduan di kalangan umat Islam untuk melahirkan generasi yang soleh.

Sabda Rasulullah s.a.w, Daripada Anas r.a, katanya telah bersabda nabi S.A.W bahawa perkahwinan adalah sunnahku, sesiapa yang benci sunnahku, maka dia bukan dari golonganku. Allah S.W.T menjadikan manusia dengan fitrahnya yang ingin hidup berpasang-pasangan, berkasih-sayang, bahagia, dan dapat memenuhi tuntutan syahwatnya melalui cara yang halal. Fitrah tersebut dapat dilaksanakan melalui ikatan perkahwinan yang sah. Firman Allah S.W.T dalam surah Yassin ayat 36:-

Maksudnya : ‘Maha suci Allah yang menjadikan kejadian semua berpasangan dari sesuatu yang tumbuh di bumi, dari mereka (manusia) dan dari sesuatu yang mereka tiada mengetahui’. (Yaasin: 36)

Jika kita perhatikan kejadian di langit dan di bumi, jelas menampakkan kebenaran ayat ini. Setiap yang kita saksikan ada pasangannya. Keadaan tanah di bumi, tidak sama rata semuanya, bahkan dijadikan berpasangan antara tinggi dan rendah. Di suatu kawasan penuh dengan tumbuhan menghijau. Di kawasan yang lain berpadang pasir. Daratan berpasangan dengan lautan. Pokok-pokok yang meliputi bumi ini ada yang jantan dan betina. Kemudian Allah jadikan pula malam berpasangan dengan siang meliputi alam ini. Binatang-binatang yang hidup di daratan dan di lautan juga berpasangan jantan dan betinanya. Demikian pula manusia. Atom yang sangat halus yang tidak dapat dilihat dengan pandangan mata dan terdiri dari komponen-komponen yang berpasang-pasangan.

Jika kita bertanya apakah hikmat Allah S.W.T. menjadikan berbagai-bagai jenis kejadian ini dalam keadaan berpasangan? Kita sudah tentu dapat memahaminya dengan mudah. Cuba kita bayangkan bagaimana keadaan alam ini sekiranya ia sentiasa dalam keadaan malam, bumi berkeadaan pamah, semuanya berpadang pasir Manusia semuanya lelaki atau semuanya perempuan. Keadaan dunia seperti ini tentu membosankan dan kejadian ini tidak melahirkan keturunan. Manusia akan hapus dalam jangka waktu yang singkat. Dengan adanya pasangan, dunia kelihatan indah dan sesungguhnya kejadian Allah S.W.T. ini sangat indah.

Betapa indahnya kehidupan manusia ini dengan adanya pasangan di dalam kejadiannya. Betapa jemu dan bosan kehidupan ini jika yang menjadi penghuni alam lelaki semuanya, atau perempuan semuanya. Jadi, kejadian berpasangan antara lelaki dan perempuan it merupakan ramuan yang mengindahkan kehidupan. Allah S.WT. berfirman dalam surah ar-Rum : 21 yang bermaksud:-

‘Di antara tanda-tanda kebesaran-Nya ia menjadikan untuk kamu pasangan dari jenis kamu sendiri untuk kamu tinggal tenteram di sampingnya dan dijadikan di antara kamu kasih sayang dan belas kasihan. Semuanya itu menjadi tanda-tanda bagi orang-orang yang berfikir’.

Kejadian berpasangan juga sebagai saluran untuk meneruskan keturunan manusia.Allah S.WT. berfirman surah an-Nisa’ : 1 yang bermaksud:-

Maksudnya : ‘Wahai manusia bertakwalah kepada Tuhan kamu yang menjadikan kamu semua dari jiwa yang satu dan dijadikan daripadanya pasangannya dan berkembang daripada keduanya banyak lelaki dan perempuan...

PERKAHWINAN SUKU KAUM SUNGAI : SATU KAJIAN DI KINABATANGAN.


PENGENALAN


1.1        Pendahuluan

Tujuan proposal ini di rangka adalah untuk menjelaskan satu isu yang  menarik perhatian manusia terutamanya masyarakat suku kaum sungai di Sabah. Suku kaum sungai merupakan salah satu suku kaum  pribumi yang ada di Negeri Sabah. Justeru saya ingin merungkai sejauh mana potensi masyarakat suku kaum sungai ini dapat mempengaruhi adat–adat suku kaum yang lain yang ada di Negeri Sabah. Sabah mempunyai keluasan 73.711 kilometer persegi dan merupakan negeri kedua terbesar di Malaysia selepas Sarawak. Sabah dibahagikan kepada lima bahagian iaitu Bahagian Pantai Barat, Bahagian Pedalaman, Bahagian Kudat, Bahagian Sandakan, dan Bahagian Tawau. Pada masa kini, telah banyak penduduk di kawasan pedalaman memeluk agama Islam, Kristian, dan agama lainnya. Secara puratanya  penduduk yang beragama Islam dianggarkan sebanyak 50%, Kristian 35%,  dan selebihnya merupakan penganut agama lain dan 5%  lagi tidak menganut apa–apa agama.

Dari segi catatan sejarah, asal-usul mengenai Orang Sungai adalah bermula pada 1881, apabila residen pertama Sandakan iaitu Sir William Pryer menjalankan ekspedisi menyusur Sungai Kinabatangan sehingga ke Kampung Imbok yang masih wujud pada ketika ini. Sewaktu ekspedisi tersebut, rombongan beliau telah terserempak dengan sekumpulan masyarakat yang sudah bertamadun dengan berkebolehan mendirikan petempatan di tebing sungai serta pandai bercucuk tanam yang dicirikan dengan imej berambut panjang dan mempunyai kulit kemerah-merahan. Disebabkan masalah komunikasi ketika itu, beliau tidak mengetahui asal-usul masyarakat tersebut dan untuk memudahkan, beliau telah menamakan kumpulan masyarakat ini dengan panggilan the river people.

Selepas peristiwa tersebut dan semasa pemerintahan The British North Borneo Chartered Company (BNBCC) panggilan ini telah dialihbahasakan kepada Orang Sungai dan telah kekal digunakan, bukan sahaja terhadap masyarakat yang mendiami Sungai Kinabatangan tetapi juga masyarakat yang menghuni sungai-sungai yang lain juga turut digelar sedemikian. Masyarakat yang tinggal di pinggir sungai yang dirujuk sebagai Orang Sungai terus berkembang dan petempatan mereka sering tertumpu di tebing-tebing sungai utama seperti Sungai Bengkoka, Sungai Labuk, Sungai Sugut, Sungai Paitan, Sungai Kinabatangan dan Sungai Segama. Pemilihan tempat ini boleh dikaitkan dengan cara hidup masyarakat ini yang gemar bercucuk tanam dan sentiasa mencari kawasan yang subur terutama kawasan lembangan sungai.