perkongsian..

Wednesday, January 12, 2011

Sejarah Adat Perkahwinan


Berdasarkan sejarah awal penduduk Pulau Borneo tergolong dalam kelompok Austronesia, iaitu daripada kelompok Negrito dan Austroloid. Kelompok ini telah meninggalkan Tanah Melayu bersama-sama penduduk Austronesia yang lain selepas zaman air batu, iaitu kira-kira 2,500 - 5,000 tahun yang lalu. Mereka memulakan penghidupan baru dan berhijrah dari suatu tempat ke suatu tempat yang lain disamping mengamalkan pertanian pindah (shifting cultivation) dalam menyara hidup seharian mereka.

Amalan ini telah dilakukan untukbeberapa lama sehinggalah mereka sampai di Utara Pulau Borneo. Perubahan hidup masyarakat ketika itu telah bermula dengan petempatan secara kekal dan bertumpu di tebing sebuah tasek yang dikelilingi oleh pokok-pokok Ara di ulu Sungai Labuk yang dikenali engan nama Nunukragang. Tidak dapat dipastikan samada Kampung Nunukragang yang terletak tidak jauh dari jambatan Tampias ketika ini adalah kampung yang dimaksudkan dalam sejarah penghijrahan awal ini. Salah satu suku etnik yang terdapat disini adalah suku kaum Orang Sungai.

Dari segi catatan sejarah, asal-usul mengenai Orang Sungai adalah bermula pada 1881, apabila residen pertama Sandakan iaitu Sir William Pryer menjalankan ekspedisi menyusur Sungai Kinabatangan sehingga ke Kampung Imbok yang masih wujud pada ketika ini. Sewaktu ekspedisi tersebut, rombongan beliau telah terserempak dengan sekumpulan masyarakat yang sudah bertamadun dengan berkebolehan mendirikan petempatan di tebing sungai serta pandai bercucuk tanam yang dicirikan dengan imej berambut panjang dan mempunyai kulit kemerah-merahan. Disebabkan masalah komunikasi ketika itu, beliau tidak mengetahui asal-usul masyarakat tersebut dan untuk memudahkan, beliau telah menamakan kumpulan masyarakat ini dengan panggilan the river people. Selepas peristiwa tersebut dan semasa pemerintahan The British North Borneo Chartered Company (BNBCC) panggilan ini telah dialihbahasakan kepada Orang Sungai dan telah kekal digunakan, bukan sahaja terhadap masyarakat yang mendiami Sungai Kinabatangan tetapi juga masyarakat yang menghuni sungai-sungai yang lain juga turut digelar sedemikian.

Masyarakat yang tinggal di pinggir sungai yang dirujuk sebagai Orang Sungai terus berkembang dan petempatan mereka sering tertumpu di tebing-tebing sungai utama seperti Sungai Bengkoka, Sungai Labuk, Sungai Sugut, Sungai Paitan, Sungai Kinabatangan dan Sungai Segama. Pemilihan tempat ini boleh dikaitkan dengan cara hidup masyarakat ini yang gemar bercucuk tanam dan sentiasa mencari kawasan yang subur terutama kawasan lembangan sungai.

Suku kaum Orang Sungai menganut fahaman yang berbeza-beza, ada yang beragama Islam, Kristian dan ada yang masih mengamalkan fahaman Animisma. Mereka yang menganut agama Islam pada asasnya adalah terdiri daripada mereka yang berkahwin campur dengan peniaga Suluk. Orang Sungai mengamalkan adat resam yang dipusakai daripada nenek moyang mereka yang banyak menerima pengaruh animisma dan kini pengaruh Islam. Mereka mengamalkan adat bersanding semasa majlis perkahwinan, adat bertimbang, adat menggunting rambut kanak-kanak dan adat melenggang perut. Pemilihan jodoh bermula dengan istiadat merisik calon isteri. Setelah istiadat merisik maka istiadat meminang pula dilakukan. Dalam istiadat ini, rombongan pihak lelaki bertandang ke rumah keluarga gadis pilihan untuk meminang secara rasmi. Selepas itu, istiadat menghantar damak atau pemberian dilakukan. Pada hari tersebut tarikh perkahwinan dan belanja hantaran untuk majlis perkahwinan akan ditentukan. Istiadat perkahwinan dalam kalangan masyarakat suku kaum Orang Sungai dilakukan mengikut amalan agama masing-masing.

No comments:

Post a Comment